March 31, 2011

gula-gula kapas bahagian dua

suasana pagi itu adalah klise. jalan raya dipenuhi kereta yang tidak bergerak. sesak teruk-berpusu-pusu ke tempat kerja. di sepanjang lorong itu juga dipenuhi manusia yang masing-masing dengan tujuan masing-masing.

hari itu, sengaja dia buka kedai awal. semalam dia berjaya dapat awan putih yang ekstra gebu dari biasa. "fluffy" orang putih kata. jadi bertuahlah orang yang awal datang beli gula-gula kapasnya pada pagi itu. gula-gula kapas buatan tangannya bukan seperti gula-gula kapas biasa. ada rasa sensasi cinta yang mendalam. tak percaya? carilah kedai itu. cuba sendiri.

*

dia yang berbaju kemeja biru dan jeans lusuh, masuk ke kedai itu. dari susun atur dalaman kedai itu, dia tahu yang dia adalah pelanggan pertama pada pagi itu. cermin masih basah seperti baru dilap. lantai masih bersih tanpa sebarang habuk. dan kelihatan pekerja kedai itu masih sibuk menyusun atur makanan. walaupun ini kedai roti dan bakeri, tapi pada dia, tarikannya cuma terhadap gula-gula kapas.

selepas memberi salam kepada pemilik kedai itu, dia terus meminta gula-gula kapas. dua.

"suka gula-gula kapas?" tanya pemilik kedai. soalan memulakan perbualan, kerana dia tahu jawapannya. dia tahu pemuda itu sukakannya. kalau tidak, masakan dia berkali-kali ke sini.

"suka." jawab dia sambil membayar dan terus berlalu pergi. dia tidak minat untuk berada di situ lama-lama. kerana ada sesuatu yang lebih dia suka untuk buat di rumah.

No comments: